fb fb fb fb fb

Liga Juara-Juara: Liverpool benam Atletico Madrid 3-2 dalam aksi pembukaan

Tandukan kapten Virgil van Dijk pada masa kecederaan memastikan Liverpool meraih kemenangan dramatik 3-2 ke atas Atletico Madrid / Foto Reuters

LIVERPOOL, 18 September – Tandukan kapten Virgil van Dijk pada masa kecederaan memastikan Liverpool meraih kemenangan dramatik 3-2 ke atas Atletico Madrid dalam aksi pembukaan Liga Juara-Juara di Anfield, awal pagi tadi.

The Reds bermula garang dengan dua gol dalam enam minit pertama menerusi Andy Robertson dan Mohamed Salah.

Robertson membuka jaringan pada minit ke-4 hasil sepakan percuma Salah yang terkena badannya, manakala Salah menambah gol kedua dua minit kemudian selepas melepasi kawalan tiga pertahanan Atletico.

Skuad kendalian Diego Simeone kembali bangkit apabila Marcos Llorente merapatkan jurang pada penghujung babak pertama sebelum menyamakan kedudukan 2-2 pada minit ke-81 menerusi voli yang terkena defleksi.

Ketika perlawanan seakan berakhir seri, Van Dijk muncul penyelamat dengan tandukan kencang hasil sepakan sudut pada masa tambahan untuk mengesahkan tiga mata berharga buat skuad bimbingan Arne Slot.

Perlawanan turut diwarnai insiden tegang apabila Simeone diarah keluar padang selepas bertelingkah dengan seorang penyokong Liverpool, sebelum pengendali Argentina itu mengakui tindakannya tidak wajar walaupun mendakwa menerima hinaan sepanjang perlawanan. -REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN