fb fb fb fb fb

Liga Juara-Juara AFC : JDT dibelasah Urawa Red Diamonds 0-5

(Foto Facebook JOHOR Southern Tigers)

SAITAMA, 20 Ogos- Episod penuh kejutan pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT), dalam kempen Liga Juara-Juara Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2022 berakhir selepas tewas 0-5 kepada juara dua kali dari Jepun, Urawa Red Diamonds, pada aksi pusingan 16 terbaik.

Kekalahan di venue ikonik, Stadium Saitama 2002 di Saitama, Jepun itu menafikan peluang skuad bimbingan Hector Bidoglio itu untuk mencipta satu lagi sejarah iaitu layak ke suku akhir, selepas menjadi kelab Malaysia pertama melepasi saingan peringkat kumpulan. 

Pada pertembungan malam ini, JDT bermula garang menerusi percubaan kaki kiri Arif Aiman Mohd Hanapi yang berjaya ditepis penjaga gol Shusaku Nishikawa seawal minit kedua, namun dikejutkan dengan sepakan penalti diberikan kepada pasukan lawan oleh pengadil pada minit ketujuh.

Sepakan penalti itu diberikan pengadil selepas penjaga gol Mohd Farizal Marlias dipersalahkan kerana mengasari Yusuke Matsuo dan kesempatan itu digunakan Alexander Scholz untuk meletakkan Urawa Red Diamonds di depan, seminit kemudian.

Fernando Forestieri melepaskan peluang keemasan untuk meledak gol penyamaan JDT apabila gagal menampan kemas bola hantaran Arif Aiman dalam kotak penalti pada minit ke-16, sebelum pasukan lawan menggandakan kedudukan hasil sepakan percuma cantik David Moberg Karlsson pada minit ke-19.

Pasukan gergasi Jepun itu terus menambah derita skuad Harimau Selatan dengan gol ketiga menghampiri masa rehat, yang menyaksikan Karlsson menjaringkan gol kedua peribadinya selepas menyempurnakan hantaran Yoshio Koizumi dalam kotak penalti pada minit ke-39.

Ketinggalan 0-3 pada separuh masa pertama, JDT tampil dengan semangat baharu pada babak kedua dalam usaha mengubah situasi, selain turut membawa masuk empat pemain iaitu Muhammad Afiq Fazail, Muhammad Safawi Rasid, Muhammad Ramadhan Saifullah Usman dan Muhammad Syahmi Safari.

Namun, usaha tersebut tidak membuahkan hasil dengan JDT terus buntu mencipta jaringan sebelum terpaksa akur menerima kekalahan apabila skuad kendalian Ricardo Rodriguez Suarez menambah dua lagi jaringan menerusi pemain gantian, Kasper Junker, pada minit ke-84 dan masa kecederaan babak kedua.

Kini, perjuangan JDT tertumpu kepada perlawanan akhir Piala FA menentang Terengganu FC yang dijadual berlangsung di Stadium Nasional di Bukit Jalil pada 10 Sept ini, selain dilihat berpotensi untuk mengekalkan kejuaraan Liga Super kali kesembilan berturut-turut.

JDT kini selesa menerajui saingan Liga Super selepas 14 perlawanan dengan mengumpul 38 mata, meninggalkan pencabar terdekat Sabah FC yang sudah mengharungi 16 aksi di tempat kedua (35 mata) sementara Negeri Sembilan yang beraksi 17 perlawanan mengutip 32 mata di tempat ketiga.-BERNAMA


(Foto Facebook JOHOR Southern Tigers)

Media Baharu