ALMATY, 1 Oktober - Jaringan hatrik oleh bintang Perancis, Kaylian Mbappe berjaya membantu gergasi LaLiga, Real Madrid melakar kemenangan besar 5-0 terhadap pendatang baharu Liga Juara Eropah, Kairat Almaty, pada Selasa.
Pada perlawanan berkenaan, pasukan tuan rumah, Kairat Almaty beraksi baik pada minit awal perlawanan dengan mencipta beberapa peluang menguji benteng pertahanan Real Madrid.
Namun, Real Madrid mula menguasai perlawanan dan berjaya membuka jaringan pada minit ke-25 selepas penjaga gol tuan rumah, Sherhan Kalmurza menjatuhkan Franco Mastantuono dalam kotak penalti.
Kesempatan berkenaan tidak disia-siakan oleh Mbappe bagi jaringan pertama perlawanan.
Bersambung babak kedua, Real Madrid berjaya menambah jaringan kedua menerusi Mbappe pada minit ke-52 hasil hantaran jauh Thibaut Courtois.
Pasukan tuan rumah, Kairat semakin tertekan selepas sepakan penalti yang diperoleh dibatalkan pengadil selepas semakan VAR pada minit ke-69.
Mbappe melengkapkan malam gemilang Real Madrid dengan gol ketiga pada minit ke-73 menerusi rembatan kencang dari luar kotak penalti hasil hantaran Rodrygo.
Pemain Brazil itu kemudian mencipta satu lagi bantuan gol dengan hantaran silang kepada Eduardo Camavinga untuk tandukan gol keempat pada minit ke-83.
Brahim Diaz menutup pesta gol Real Madrid pada masa kecederaan bagi menjadikan kedudukan akhir 5-0. - REUTERS