fb fb fb fb fb

Juara Terbuka Jepun: Alcaraz tepati ramalan

Bintang tenis Sepanyol, Carlos Alcaraz / Foto REUTERS

TOKYO, 1 Oktober - Pemain nombor satu dunia, Carlos Alcaraz menepati ramalan apabila menewaskan Taylor Fritz 6-4, 6-4 untuk menjuarai Terbuka Jepun sekali gus meraih gelaran kelapan musim ini.

Kemenangan berkenaan sekali gus mengukuhkan penguasaanya dalam tenis perseorangan lelaki.

Pada aksi akhir yang berlangsung di Ariake Colosseum, Alcaraz mendahului apabila Fritz gagal mengekalkan servis, sebelum menutup set pertama dengan bergaya.

Fritz yang mendapat rawatan paha sebelum set kedua, terus tertekan apabila Alcaraz merampas servis pada permainan pertama dan mendahului 4-1.

Pemain Amerika itu sempat melepaskan kemarahan dengan membaling raket, namun Alcaraz memastikan kemenangan dengan pukulan drop shot yang kemas untuk menamatkan perlawanan.

Kemenangan itu turut membalas dendam Alcaraz terhadap kekalahan mengejutnya kepada Fritz di kejohanan Laver Cup di San Francisco awal bulan ini, yang merupakan kekalahan pertama pemain Sepanyol itu kepada lawannya itu.

Alcaraz, 22, sempat mencetus kebimbangan akibat terseliuh kaki dalam aksi pembukaan minggu lalu, namun bangkit cemerlang untuk meraikan kemenangan ke-67 musim ini dan gelaran ATP ke-24 sepanjang kariernya.

“Saya benar-benar menikmati setiap detik di Tokyo, kecuali lima minit ketika saya terjatuh kerana buku lali,” katanya berseloroh selepas perlawanan.

Juara Grand Slam enam kali itu menyifatkan musim ini sebagai yang terbaik dalam kariernya selepas mempertahankan gelaran Terbuka Perancis dan mara ke perlawanan akhir Wimbledon sebelum tewas kepada Jannik Sinner. - REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD