fb fb fb fb fb

ACLE: Lingard pimpin FC Seoul benam Buriram United 3-0

FOTO FB FC서울 (FC Seoul)

SEOUL, 1 Oktober - Jesse Lingard mengetuai FC Seoul mencatat kemenangan pertama dalam saingan Kumpulan Liga Juara Asia (ACL) Elite selepas menewaskan Buriram United 3-0 di Stadium Piala Dunia Seoul.

Bekas pemain Manchester United dan England itu turun sebagai ketua pasukan, sementara jaringan Choi Jun, Jeong Seung-won dan Lucas Silva memastikan tiga mata penuh ke atas juara Liga 1 Thailand.

Gol pertama hadir pada minit ke-38 menerusi penyudah Choi yang menyempurnakan hantaran lintang Silva dari sebelah kiri.

FC Seoul menambah jaringan pada masa kecederaan babak pertama apabila percubaan silang Jeong gagal dibaca penjaga gol Buriram, Neil Etheridge, lalu bola terus menerjah gawang.

Silva melengkapkan kemenangan dengan gol ketiga selepas melepaskan rembatan kencang ke penjuru atas gol, susulan aksi kelam-kabut barisan pertahanan Buriram.

Kemenangan itu menyaksikan FC Seoul mengutip empat mata daripada dua perlawanan, berkongsi kedudukan dengan Hiroshima selepas dua daripada lapan pusingan perlawanan peringkat liga.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE