fb fb fb fb fb

Liga Juara Eropah: Galatasaray lakar kejutan

Penyerang Galatasary, Victor Osimhen /Foto REUTERS

ISTANBUL, 1 Oktober – Galatasaray mengejutkan Liverpool dengan kemenangan tipis 1-0 menerusi jaringan penalti Victor Osimhen dalam aksi Liga Juara Eropah, awal pagi tadi.

Gol tunggal perlawanan hadir pada minit ke-16 selepas Baris Alper Yilmaz dijatuhkan Dominik Szoboszlai.

Kekalahan itu merupakan yang kedua berturut-turut buat Liverpool selepas tunduk kepada Crystal Palace dalam saingan Liga Perdana hujung minggu lalu.

Nasib malang turut menimpa skuad bimbingan Arne Slot apabila penjaga gol utama, Alisson Becker, serta penyerang Perancis, Hugo Ekitike, terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan.

Slot turut mengesahkan Alisson bakal terlepas aksi penting menentang Chelsea hujung minggu ini.

Liverpool membuat tiga pertukaran dalam kesebelasan utama, dengan Mohamed Salah hanya dimasukkan pada minit ke-62 bersama Alexander Isak.

Namun, kehadiran bintang Mesir itu gagal mengubah keputusan. Ekitike yang baru kembali daripada penggantungan pula dikeluarkan pada minit ke-68 selepas mengalami kecederaan.

Kemenangan itu merupakan yang pertama buat Galatasaray di laman sendiri dalam saingan Liga Juara Eropah sejak tujuh tahun lalu.

Liverpool sebaliknya kelihatan rapuh di benteng pertahanan dengan beberapa peluang keemasan gagal disudahkan, termasuk percubaan Ekitike dan Ibrahima Konaté.

Harapan skuad pelawat untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-88 musnah selepas sepakan penalti yang pada awalnya diberikan, dibatalkan menerusi semakan VAR.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD