JEDDAH, 1 Oktober – Al-Ittihad terus dirundung malang apabila mengalami kekalahan kedua berturut-turut dalam saingan Liga Juara Asia (ACL) Elite selepas tewas 0-1 kepada Shabab Al-Ahli, awal pagi tadi.
Gol tunggal perlawanan dijaringkan pemain tengah Iran, Saeid Ezatolahi pada minit ke-40 selepas menanduk masuk sepakan sudut Federico Cartabia.
Kekalahan itu hadir ketika juara bertahan Liga Pro Saudi itu dibimbing jurulatih sementara, Hassan Khalifa, susulan pemecatan Laurent Blanc.
Biarpun dibarisi bintang ternama seperti Karim Benzema, N’Golo Kante dan Fabinho, Al-Ittihad kini terperosok di tangga ke-11 daripada 12 pasukan dalam saingan zon Barat selepas dua perlawanan.
Hanya lapan pasukan teratas bakal mara ke pusingan kalah mati pada Mac depan.
“Selepas kalah, memang sukar untuk digambarkan perasaan kami. Ia tidak bagus. Satu-satunya perkara yang boleh kami janji ialah bangkit lebih kuat, cuba perbaiki kesilapan, dan mohon maaf kepada penyokong yang hadir,” kata pertahanan Al-Ittihad, Mario Mitaj.
Kemenangan itu menyaksikan Shabab Al-Ahli mengumpul empat mata, dua mata di belakang pendahulu awal, Al-Hilal, dan menyamai kutipan mata tiga kelab Emiriah Arab Bersatu iaitu Sharjah FC, Al-Wahda serta juara bertahan Al-Ahli.
Sementara itu di Doha, Sharjah bangkit mengikat Al-Sadd 1-1.
Penyerang kelahiran Brazil, Caio Lucas menyamakan kedudukan pada minit ke-73 selepas Akram Afif meletakkan tuan rumah di depan dengan rembatan kencang seawal minit ke-18.
Caio berpeluang menyamakan kedudukan lebih awal namun gagal menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-21.
Bagaimanapun, beliau menebus kesilapan itu dengan menyudahkan hantaran lofted Adel Taarabt dari jarak dekat.
“Ia perlawanan yang sukar, kami tertekan sedikit, tetapi akhirnya berjaya mendapatkan gol.
"Malangnya saya terlepas penalti, tapi itulah bola sepak, kami perlu teruskan,” kata Caio. - REUTERS