MELAKA, 1 Okt - Ketua jurulatih Melaka FC K. Devan optimis pasukan itu mampu bangkit pada perlawanan seterusnya selepas tewas 0-1 kepada DPMM FC dalam aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat malam tadi.
Beliau berkata beberapa tonggak utama yang terpaksa direhatkan akibat kecederaan pada perlawanan itu dijangka boleh kembali beraksi pada perlawanan akan datang, sekali gus mampu memperkukuh corak permainan Melaka FC.
“Dari segi corak permainan perlawanan malam ini (tadi) kita tidak hilang identiti dan pemain menguasai bola, mampu bertahan dengan baik serta tidak beri ruang kepada DPMM mencipta peluang.
“Cuma kita gagal menyempurnakan peluang untuk menjaringkan gol dan nasib tidak menyebelahi Melaka FC,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.
Pada perlawanan itu, Melaka gagal memanfaatkan dua peluang diperoleh Abdul Azim Rahim pada minit ke-26 menerusi sepak penalti dan percubaan Danilo Augusto Magalhaes pada minit ke-68 yang berjaya diselamatkan penjaga gol DPMM Haimie Abdullah Nyaring.
Gol tunggal perlawanan dijaringkan pemain import DPMM Jordan Murray menerusi sepakan penalti pada minit ke-36 selepas bola terkena tangan pemain Melaka Irfan Zakaria dalam kotak penalti.
Devan berkata fokus kini untuk memperkukuh persediaan pasukan bagi menghadapi cabaran Kelantan United pada 24 Okt.
“Kita ada masa yang panjang untuk memperbaiki kelemahan, memperkemas serangan dan pastikan kesebelasan utama kembali cergas. Saya yakin kita mampu tampil lebih mantap dalam perlawanan menentang Kelantan nanti,” katanya.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Brunei DPMM FC McAllister James Reynolds berpuas hati dengan disiplin pemain yang bersungguh-sungguh memastikan kemenangan untuk membolehkan mereka membawa pulang tiga mata.
Reynolds juga memuji usaha pemain sehingga berjaya mengekalkan gawang daripada dibolosi dan tumpuan kini adalah untuk persediaan menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) tiga minggu akan datang.
Dengan kemenangan itu, DPMM menduduki tangga kesembilan Liga Super dengan mengutip empat mata manakala Melaka di kedudukan ke-10 dengan tiga mata. - BERNAMA