BARCELONA, 2 Oktober – Paris Saint Germain (PSG) mencatat kemenangan bergaya 2-1 ke atas Barcelona dalam aksi Kumpulan Liga Juara Eropah di Stadium Olimpik Montjuic, awal pagi tadi.
Dalam perlawanan penuh sengit itu, skuad bimbingan Luis Enrique terpaksa bangkit selepas dibolosi pada awal permainan sebelum pemain gantian, Goncalo Ramos muncul wira dengan jaringan kemenangan pada minit ke-90.
Kejayaan tersebut menyaksikan PSG mengekalkan rekod sempurna mereka dalam kempen musim ini selepas sebelum ini menewaskan Atalanta 4-0, selain menjadi kemenangan ketiga berturut-turut ke atas Barcelona di Catalonia.
Luis Enrique menegaskan semangat juang skuadnya yang dilanda kecederaan pemain tetap menjadi kunci kejayaan membawa pulang tiga mata berharga di tempat lawan.
Sementara itu, pengendali Barcelona, Hansi Flick mengakui PSG lebih layak memenangi perlawanan tersebut dan menegaskan anak buahnya perlu memperbaiki kelemahan di beberapa posisi menjelang aksi seterusnya. -REUTERS