fb fb fb fb fb

Liga Juara : Bosz ada misi untuk diselesaikan menentang Dortmund

Pengendali PSV Eidhoven, Peter Bosz / Foto Reuters

THE HAGUE, 19 Februari - Pertembungan antara PSV Eidhoven dan Borussia Dortmund pada pusingan 16 terbaik Liga Juara Selasa depan bukan hanya sekadar perlawanan biasa tetapi ia dilihat sebagai misi dendam peribadi buat pengurus Eidhoven, Peter Bosz.

Bosz yang pernah mengendalikan Borussia Dortmund pada tahun 2017 mengalami masa buruknya di kelab berkenaan selepas dipecat dengan cara memalukan.

Bosz bakal menggunakan kesempatan tersebut bagi membuktikan pemecatannya sebagai kesilapan besar yang dilakukan Dortmund.

"Saya masih mengenali ramai orang di kelab (Dortmund) berkenaan.

"Saya teruja untuk kembali dan menewaskan mereka", kata Bosz

Pada 2017, Borussia Dortmund telah memujuk Bosz yang ketika itu sedang mengemudi Ajax bagi menyertai pasukan tersebut dengan membayar pampasan sebanyak 5.4 juta Euro yang menjadi rekod temahal Bundesliga ketika itu.

Di bawah kendalian Bosz, Dortmund bermula dengan cemerlang apabila memenangi enam daripada tujuh perlawanan awal sehinggakan para peminat bola sepak membuat andaian bahawa Dortmund mampu menjulang kejuaraan menewaskan pesaing dan gergasi Jerman, Bayern Munich.

Namun, segala-galanya bertukar apabila liga memasuki pertengahan Oktober apabila Dortmund tewas dalam lima perlawanan berturut-turut.

Kekalahan tersebut memberikan tekanan kepada Bosz.

Tekanan itu menjadi lebih buruk apabila Dortmund turut tewas dan tersingkir dari peringkat kumpulan Liga Juara-Juara.

Titik terburuk Bosz adalah ketika Dortmund seri 4-4 ketika menentang musuh setempat, Schalke pada 25 November 2017.

Pada perlawanan tersebut, Dortmund mendahului Schalke 4-0 pada separuh masa pertama, sebelum keputusan seri dilakar pada akhir perlawanan.

Keputusan tersebut mengecewakan pengurusan kelab dan para peminat Dortmund.

Dikecam oleh media dan pengurusan tertinggi kelab, akhirnya Bosz dipecat pada 10 Disember 2017.

Setahun selepas itu, Bosz kembali ke Bundesliga dengan mengemudikan Bayer Leverkusen. Sekali lagi nasib tidak menyebelahi pengurus berusia 60 tahun itu apabila dipecat selepas prestasi buruk yang dipamerkan pasukan berkenaan.

Selepas dipecat Bayer Leverkusen, Bosz ke Lyon, namun prestasi tidak konsisten yang dipamerkan kelab Perancis itu menyebabkan dia dipecat sebelum dia kembali ke Belanda bagi menyertai PSV Eidhoven pada Jun tahun lalu.

Bersama PSV, Bosz melalui detik-detik cemerlang dengan pasukan itu kini merekodkan 17 kemenangan dan menerajui liga Belanda.

PSV kini mengintai peluang ke suku akhir Liga Juara-Juara buat kali pertama sejak musim 2007-2008 sejak kali terakhir pasukan berkenaan merangkul kejuaraan pada 1988 di bawah kendalian Guss Hiddink.- AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD