fb fb fb fb fb

Voeller sokong Alonso kekal di Leverkusen

Pengurus Bayer Leverkusen / Foto Reuters

BERLIN, 19 Februari - Bekas Pengarah Sukan Bayer Leverkusen, Rudi Voeller berkata dia menyokong hasrat pengendali kelab berkenaan, Xavi Alonso untuk kekal disebalik spekulasi yang mengaitkan Alonso ke Liverpool dan Bayern Munich.

Alonso yang mengambil alih Bayer Leverkusen musim lalu telah berjaya mengubah nasib pasukan itu yang terperosok di zon penyingkiran sebelum menjadi pendahulu Bundesliga musim ini.

Leverkusen turut berada pada landasan tepat bagi memburu kejuaraan liga buat kali pertama dengan merekodkan 32 kemenangan dalam semua pertandingan musim ini.

"Saya dapat membayangkan dia (Alonso) tidak akan ke mana-mana buat masa ini", kata Voller kepada Bild ketika ditanya tentang masa depan pengurus Bayer Leverkusen itu.

Voller pernah bermain buat Bayer Leverkusen sebelum menjadi jurulatih kelab berkenaan.

Voller kemudiannya diberi peranan sebagai Pengarah Sukan kelab tersebut selama 20 tahun sehingga 2022 sebelum menjawat jawatan sama di pasukan kebangsaan Jerman.

"Penghijrahan Alonso ke kelab lain tetap akan berlaku, tetapi bukan buat masa ini.

"Sekiranya, Alonso berjaya membawa Leverkusen memenangi liga, ia akan tetap di sini", tambah Voller.

"Apa yang penting, Leverkusen perlu fokus musim ini", kata Voller.

Pengurus berusia 43 tahun itu kini menjadi calon pilihan bagi menggantikan Jurgen Klopp di Liverpool selain turut dikaitkan dengan Bayern Munich dan Real Madrid.

Alonso dilaporkan telah menandatangani kontrak lanjutan bersama Bayer Leverkusen sehingga 2026 sebelum bermulanya musim ini.-AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD