IPOH, 22 Ogos – Perak FA meraih kemenangan pertama musim ini selepas menundukkan Perlis GSA FC 2-0 dalam saingan Liga A1 Semi-Pro yang berlangsung di Kompleks Bola Sepak Perak, Chepor, petang tadi.
Skuad bimbingan Syamsul Saad bermula garang apabila pemain import, Christian Okwudiri, meledak gol seawal minit pertama menerusi rembatan deras untuk meletakkan tuan rumah di depan.
Perlawanan kemudiannya berlangsung seimbang dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan, namun kedudukan 1-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
Memasuki babak kedua, Perak FA memperkemaskan corak permainan dengan beberapa percubaan berbahaya, namun kecekapan penjaga gol Perlis GSA, Kamarul Hilman Adenan, berjaya menafikan usaha mereka.
Gol kedua akhirnya hadir pada minit ke-79 apabila kapten pasukan, Kamal Arif Azrai, menanduk masuk hantaran lintang J. Tamotehran, sekali gus mengesahkan kemenangan bergaya 2-0 buat skuad tuan rumah.
