KUALA LUMPUR, 13 Februari- Pembuka tirai kejohanan golf berkonsepkan santai dan libur, Leisuremania Golf 2024 di Jakarta Indonesia dimeriahkan dengan penyertaan lebih 80 pemain golf amatur dari Malaysia.
Kesemua pemain yang berasal dari beberapa negeri seperti Kuala Lumpur, Selangor, Pinang, Johor, Melaka dan Negeri Sembilan itu berentap di lapangan-lapangan golf terbaik Indonesia.
Antara lapangan yang menjadi pilihan pada kejohanan pembuka tirai Leisuremania Golf tahun ini ialah Imperial Golf Club, Gunung Geulis Golf Club dan Sedayu Indo Golf Club.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Leisure Golf Services (LGS), Steven Leow, Leisuremania Golf 2024 akan menganjurkan sebanyak 10 pusingan kejohanan tanpa 'grand final'.
Daripada 10 pusingan itu, katanya, dua daripadanya akan diadakan di Bandung dan Surabaya, manakala selebihnya akan berlangsung di Jakarta.
"Ramai pemain yang minta supaya LGS mengadakan kejohanan Leisuremania Golf ini Jakarta berbandung di tempat-tempat lain. Maka itu, LGS memutuskan untuk mengadakan lebih kerap di Jakarta.
"Sudah pastinya kelab-kelab golf yang akan menjadi lapangan kejohanan adalah yang terbaik di Jakarta," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia selepas majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang kejohanan di Hotel Santika Premium, Jakarta, baru-baru ini.
Pemain handikap 14, Othman Hitam muncul juara diikuti Bakar Abd. Rahman (handikap 8), Mohd. Saidin Mohd. Said (handikap 11) dan Suhaimi Othman (handikap 13). Mereka masing-masing membawa pulang hadiah berupa tiket penerbangan Jakarta-Kuala Lumpur dan pakej golf di Jakarta.
Steven menzahirkan ucapan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan pembukaan kejohanan Leisuremania Golf 2024 termasuk rakan-rakan LGS dan para peserta.
Sementara itu, Presiden Komuniti Golf Melayu Malaysia (KGMM), Safian Abdullah berkata, pihaknya akan terus memberikan kerjasama dan sokongan kepada LGS bagi menjayakan Leisuremania Golf pada tahun ini.
Katanya, KGMM mempunyai lebih 1,000 ahli dan beliau menggalakkan lebih ramai ahli-ahlinya akan menyertai setiap pusingan kejohanan Leisuremania Golf.
"Pada kejohanan sulung ini, lebih 40 ahli KGMM menyertainya. Terima kasih kepada mereka yang turut serta. Saya harap pada kejohanan-kejohanan akan datang akan lebih ramai lagi.
"Kerjasama antara KGMM dengan LGS ini sudah lama. Saya cukup berpuas hati dengan penganjurannya yang lancar dan terjamin," katanya.