EINDHOVEN, 15 April- Leicester City bangkit menewaskan PSV Eindhoven, 2-1 dalam perlawanan pagi tadi sekali gus mara ke pusingan separuh akhir Liga Persidangan Europa.
Kemenangan tersebut cukup bermakna buat The Foxes apabila julung kali ke pentas separuh akhir namun bakal menerima tentangan sengit bertemu AS Roma.
Selepas seri tanpa jaringan pada perlawanan pertama di England minggu lalu, PSV mendahului aksi suku akhir itu menerusi gol jaringan Zahavi pada minit ke-26.
Namun gol lewat James Maddison dan Ricardo Pereira membantu kemenangan skuad Liga Perdana bimbingan Brendan Rodgers dan mengejutkan penonton di Stadium Philips.
Leicester akan menentang Roma bagi mencari tempat ke final di Tirana 25 Mei depan selepas pasukan Serie A itu mengatasi defisit 2-1 pada suku akhir pertama menentang kelab Norway, Bodo/Glimt menerusi kemenangan 4-0.
"Kami adalah pasukan yang sangat muda dalam bola sepak Eropah. PSV ada sejarah menakjubkan di Eropah dan kami terlalu muda, ini adalah pengalaman hebat buat kami dan saya sangat gembira buat pemain."," kata pengurus Leicester, Rodgers kepada BT Sport.
(Pasukan Leicester City meraikan gol menewaskan PSV Eindhoven pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Philips/AFP)
Sementara itu Nicolo Zaniolo meledak hatrik ketika Roma mengatasi Bodo/Glimt di Stadium Olimpico untuk menang 5-2 secara agregat.
Ia adalah aksi balas dendam kelab dari ibu kota itu selepas dimalukan 6-1 oleh Bodo/Glimt pada peringkat kumpulan dan ia berlangsung dalam suasana tegang.
"Kini terpulang kepada kami untuk membawa bendera Itali, hanya kami pasukan yang tinggal dalam memburu piala di Eropah," kata Mourinho. - AFP