fb fb fb fb fb

Legenda hebat sepanjang zaman, Pele meninggal dunia pada usia 82 tahun

 

(Lionel Messi menerusi Instagramnya mendoakan agar "Roh Pele bersemadi dengan tenang" / Foto Instagram Leomessi)

SAO PAULO, 30 Disember- Pele, pemain legenda bola sepak Brazil, meninggal dunia pada Khamis pada usia 82 tahun.

Dunia bola sepak antarabangsa dikejutkan dengan kematian pemain terhebat sepanjang zaman.

Hospital Albert Einstein di Sao Paulo, tempat Pele sedang menjalani rawatan, berkata dia meninggal dunia pada pukul 3:27 petang 29 Disember 2023.


(Pemain bola sepak legenda Brazil Pele melambai kepada penonton sebelum bermulanya perlawanan
akhir bola sepak lelaki bawah 17 tahun kejohanan Piala Subroto di stadium Ambedkar di New Delhi, India, 16 Oktober 2015 / Foto Reuters)

"Ia disebabkan oleh pelbagai kegagalan organ akibat perkembangan kanser kolon yang dikaitkan dengan keadaan perubatannya sebelum ini," katanya.

Kematian satu-satunya lelaki yang memenangi Piala Dunia sebanyak tiga kali sebagai pemain disahkan di akaun Instagramnya.

Pemergian mendiang disahkan anak perempuannya menerusi Instagram selepas sekian lama bergelut dengan penyakit kanser usus hingga menyebabkan pelbagai kegagalan organ.

Pele atau nama sebenarnya Edson Arantes do Nascimento; dilahirkan dalam keluarga miskin di Sao Paulo, pada 23 Oktober 1940.

Pele bergelar penjaring terbanyak sepanjang zaman bersama skuad kebangsaan Brazil apabila menjaringkan 77 gol dalam 92 penampilan.

Mendiang satu-satunya pemain yang berjaya menjulang trofi Piala Dunia sebanyak tiga kali iaitu pada tahun 1958, 1962 dan 1970.

Dalam pada itu, pemergian Pele yang dikenali genius bola sepak dengan gaya permainan 'bola sepak samba' menerima pelbagai reaksi daripada komuniti bola sepak dunia.

Bintang sensasi Perancis, Kylian Mbappe berkata legasi Pele tiada galang gantinya dan akan dikenang sampai bila-bila.

Manakala pemain terbaik Piala Dunia 2022 Lionel Messi menerusi Instagramnya mendoakan agar "Roh Pele bersemadi dengan tenang". - Reuters

Media Baharu