KUALA LUMPUR, 16 Jun- Perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia berjaya melangkah ke pusingan suku akhir Terbuka Indonesia menerusi perlawanan pagi tadi.
Zii Jia yang mudah menundukkan pemain dari India, Sameer Verma menerusi permainan 'straight set' dengan pungutan mata 21-10 dan 21-13 di Stadium Istora Senayan.
Keputusan tersebut menyaksikan Zii Jia berjaya melebarkan rekod kemenangan berdepan Sameer yang kini menang lima daripada tujuh pertemuan mereka.
Sebelum ini, pertembungan aksi kedua pemain melihatkan Zii Jia yang menghuni ranking kelima dunia itu tewas berdepan Sameer pada aksi Terbuka Thailand Januari tahun lalu.
Lee Zii Jia akan bertemu pemenang perlawanan antara juara dunia dari Singapura, Loh Kean Yew dengan pemain Perancis, Toma Junior Popov bagi merebut tiket ke separuh akhir, esok.
Sementara itu, dua beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik serta Ong Yew Sin-Teo Ee Yi akan beraksi hari ini berdepan gandingan Belanda dan Jepun.
Untuk beregu wanita negara pula, Vivian Hoo-Lim Chiew Sien dan Pearly Tan- Thinaah Muralitharan akan beraksi menentang China dan Jepun manakala empat lagi beregu campuran negara akan berentap hari ini untuk ke pusingan seterusnya di Terbuka Indonesia.
(FOTO BAM)