fb fb fb fb fb

Lee Zii Jia melangkah ke akhir Terbuka Thailand

FOTO FB Badminton Association of Malaysia - BAM

BANGKOK, 18 Mei- Pemain perseorangan lelaki nombor satu Malaysia, Lee Zii Jia selangkah untuk memenangi gelaran pertamanya tahun ini, selepas layak ke perlawanan akhir Terbuka Thailand dengan menewaskan pemain pilihan kelapan kejohanan dari Taiwan, Chou Tien Chen.

Pemain profesional berkedudukan ke-10 dunia itu, mengalahkan Tien Chen 18-21, 21-12 dan 21-13 dalam masa 66 minit di Stadium Nimibutr, hari ini.

Zii Jia yang ditemui selepas perlawanan menyatakan kegembiraannya dengan prestasi beliau hari ini, kerana walaupun selepas tewas set pertama, beliau berjaya memenangi dua set selepas itu.

"Prestasi keseluruhan saya telah meningkat, dan saya berharap akan dapat menang esok, walaupun saya akan berhadapan perlawanan sukar menentang Angus Ng Ka Long," katanya kepada media di sini.

Pemain pilihan keenam kejohanan akan berhadapan Angus dari Hong Kong esok, selepas pemain itu menewaskan pemain tuan rumah dan bekas juara dunia dari Thailand Kunlavut Vitidsarn 21-14, 18-21 dan 21-19. -BERNAMA

SITI AISHAH MD ISA