(FOTO Kedah FC)
KUALA LUMPUR, 2 Jun - Dua jaringan Lee Tuck membantu Kedah Darul Aman (KDA FC) memanjat satu anak tangga ke tempat keempat Liga Super 2023 selepas menundukkan Sabah FC 2-1 di Stadium Darul Aman, Alor Setar, malam ini.
Babak pertama menyaksikan Sabah mendominasi perlawanan apabila anak buah Ong Kim Swee itu mendahului seawal minit kelapan menerusi tandukan cantik Gabriel Schmegel Witter Peres yang menerima sepakan percuma Baddrol Bakhtiar.
Tersentak dengan jaringan tersebut, Kedah kemudian mengatur serangan demi serangan untuk mencipta peluang dan membuahkan hasil untuk menyamakan kedudukan apabila Lee Tuck menerima hantaran jauh Federico Hidalgo Gasparini membolosi gawang pihak lawan pada minit ke-40.
Bersambung babak kedua, skuad Sang Kenari dan Sang Badak kembali memperkemaskan permainan masing-masing untuk memburu jaringan.
Anak buah Nafuzi Zain kemudian menggandakan kedudukan pada minit ke-72, sekali lagi hasil sentuhan Lee Tuck yang meleret bola ke gawang lawan dalam situasi kelam kabut di kotak penalti selepas kegagalan Willian Lira Sousa yang cuba menanduk bola ke dalam gol.
Asakan demi asakan dilakukan kedua-dua pasukan gagal menambah jaringan dan kedudukan kekal hingga wisel penamat dengan menyaksikan Kedah mengutip tiga mata di laman sendiri.
(FOTO Kedah FC)
Sementara itu, perlawanan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, menyaksikan Kelantan United FC (KUFC) membenam Kelantan FC 4-1 dalam keadaan hujan lebat.
KUFC turun sebagai tuan rumah memperolehi jaringan pertama pada minit ke-21 menerusi pemain import David Silva apabila mudah menolak masuk bola hantaran lintang rakan sepasukan sebelum menambah jaringan kedua menerusi rembatan OJ Porteria.
Perlawanan, bagaimanapun, terpaksa dihentikan selama 90 minit oleh pengadil perlawanan, Muhammad Khairusyahmi pada minit ke-37 akibat hujan lebat dan kilat.
Apabila perlawanan bersambung Kelantan FC kemudian memperolehi gol pertama menerusi sepakan penalti Ismaheel Akinade pada minit minit kecederaan babak pertama selepas pemain pertahanan KUFC menjatuhkan penyerang Kelantan FC dalam kotak penalti.
Babak kedua menyaksikan OJ Porteria sekali lagi menjadi wira, menghadiahkan gol ketiga kepada KUFC menerusi rembatan deras dari luar kotak penalti pada minit ke-61 sebelum Mohd Syazwan Zainon menambah duka Kelantan dengan menyudah jaringan keempat pada minit ke-66 dan keputusan kekal 4-1. - BERNAMA