MADRID, 10 November- Apollo Sports Capital, cabang pelaburan sukan dari dana Amerika Syarikat (AS) Apollo (APO.N), telah bersetuju untuk menjadi pemegang saham majoriti dalam kelab bola sepak Sepanyol, Atletico Madrid.
Perkara itu diumumkan kelab tersebut pada Isnin tanpa mendedahkan sebarang butiran kewangan.
Menurut sumber yang rapat dengan urusan tersebut, perjanjian tersebut dijangka meletakkan nilai keseluruhan kelab itu pada kira-kira €2.5 bilion euro ($2.92 bilion).
Perjanjian berkenaan menandakan pelaburan terkini dalam bidang sukan oleh firma ekuiti swasta, yang tertarik dengan aliran pendapatan yang stabil dan mudah diramal dalam industri tersebut.
Atletico Madrid menyatakan bahawa Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kelab, Miguel Angel Gil Marin dan Presiden, Enrique Cerezo akan kekal dalam peranan mereka dan sebagai pemegang saham.
Pelaburan itu dijangka selesai sepenuhnya pada suku pertama tahun 2026.
Sumber terdahulu memberitahu Reuters pada September bahawa firma AS itu berusaha mengambil kawalan kelab dengan memperoleh sebahagian daripada pegangan saham yang dimiliki oleh Gil Marin, Cerezo dan kemungkinan juga dari dana pelaburan Ares Management.
A&O Shearman bertindak sebagai penasihat undang-undang kepada Apollo Sports Capital, manakala ECIJA bertindak sebagai penasihat undang-undang kepada Gil Marin dan Cerezo. -REUTERS