MELBOURNE, 11 November - Bekas pemain nombor dua dunia, Ons Jabeur dari Tunisia mengumumkan bahawa beliau sedang hamil anak pertama dan akan berehat panjang daripada arena tenis profesional.
Pemain berusia 31 tahun itu yang kini menduduki ranking ke-79 dunia, memaklumkan bahawa beliau akan menangguhkan kariernya buat sementara waktu untuk memberi tumpuan kepada keluarga, dengan bayi lelaki dijangka lahir pada April depan.
Sepanjang kariernya, Jabeur telah meraih lima gelaran perseorangan Jelajah WTA dan muncul naib juara di tiga kejohanan Grand Slam.
Beliau sebelum ini turut berkongsi secara terbuka mengenai cabaran kesihatan mental yang dihadapinya, termasuk tekanan dan kemurungan akibat jadual kejohanan yang padat. Pengumuman terbaharunya hadir ketika komuniti tenis antarabangsa terus membincangkan isu beban jadual pertandingan yang semakin mencabar.- REUTERS