TURIN, 11 November - Pemain tenis Itali, Jannik Sinner memulakan misi mempertahankan kejuaraan ATP Finals dengan langkah kanan selepas menundukkan pemain Kanada yang dibelenggu kecederaan, Felix Auger-Aliassime, 7-5, 6-1 dalam aksi peringkat kumpulan di Arena Inalpi pada Isnin.
Pertemuan itu merupakan kali keempat antara kedua-dua pemain sejak Ogos lalu, hanya lapan hari selepas pertemuan terakhir mereka, dengan keputusan yang sama memihak kepada Sinner.
Pemain tuan rumah itu mengawal rentak permainan sebelum memanfaatkan kelebihan apabila lawannya terpaksa mendapatkan rawatan perubatan pada set kedua akibat masalah betis kiri.
Kemenangan tersebut melanjutkan rekod luar biasa Sinner di gelanggang tertutup kepada 27 kemenangan berturut-turut — kali terakhir beliau tewas kepada Novak Djokovic dalam perlawanan akhir ATP Finals 2023.
Sinner kini bersaing rapat dengan Carlos Alcaraz bagi menamatkan musim sebagai pemain nombor satu dunia. Bagi mengekalkan peluang itu, Sinner perlu mempertahankan kejuaraan di Turin, manakala Alcaraz hanya memerlukan dua lagi kemenangan selepas menang dalam aksi pembukaannya.
Sinner mempamerkan rentak agresif sejak awal permainan apabila memenangi servis pertama tanpa kehilangan mata dan hanya melepaskan tiga mata sepanjang set pertama, sambil mencipta lima peluang untuk mematahkan servis lawan.
Auger-Aliassime bertahan dengan baik, melepaskan lapan ‘ace’ berbanding satu daripada Sinner, namun pemain Itali itu berjaya memecah kebuntuan untuk memenangi set pertama.
Pada set kedua, Sinner mendahului 3-0 sebelum Auger-Aliassime memerlukan masa rawatan kecederaan. Walaupun berjaya menyelamatkan dua mata ‘break’, pemain Kanada itu akhirnya tumbang apabila Sinner melakukan satu lagi ‘break’ sebelum menamatkan perlawanan dengan satu ‘ace’ bergaya.
Dalam satu lagi aksi Kumpulan Bjorn Borg pada Ahad, pemain Jerman, Alexander Zverev menewaskan pemain Amerika Syarikat, Ben Shelton 6-3, 7-6 (6). Semua empat pemain dalam kumpulan itu akan berentap sesama sendiri bagi merebut dua slot ke separuh akhir.
Sementara itu, saingan Kumpulan Jimmy Connors pada Selasa bakal menyaksikan Carlos Alcaraz berdepan finalis tahun lalu, Taylor Fritz, manakala pemain Itali, Lorenzo Musetti akan menentang Alex de Minaur dari Australia.- REUTERS