fb fb fb fb fb

Lee Chong Wei dilantik Ahli Majlis BAM

Datuk Seri Lee Chong Wei

KUALA LUMPUR, 18 Ogos – Legenda badminton negara, Datuk Seri Lee Chong Wei kembali bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selepas dilantik sebagai Ahli Majlis badan induk berkenaan.

Pelantikan itu diumumkan Presiden BAM,   Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis BAM di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara.

Menurut Tengku Zafrul, penglibatan Chong Wei merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh kepimpinan BAM menerusi pelan strategik komprehensif Tangkis 2030.

“Banyak perkara perlu kita laksanakan dan saya percaya ada ruang untuk melantik Ahli Majlis dalam kalangan individu luar, bukan hanya wakil negeri. Maka saya mencadangkan empat nama, dan yang pertama tidak perlu diperkenalkan lagi, iaitu Datuk Seri Lee Chong Wei,” katanya.

Selain Chong Wei, tiga lagi tokoh korporat turut dilantik sebagai Ahli Majlis, iaitu Ahli Lembaga Pengarah KWSP, Tan Sri Gooi Hoe Soon (Kewangan), bekas Ketua Pegawai Eksekutif NTV7, Datuk Seri Shazalli Ramly (Penjenamaan dan Strategi Media), serta Peguam Datuk Sunil Abraham (Perundangan).

Dalam pada itu, Tengku Zafrul turut menggariskan tiga sasaran utama badminton negara, iaitu menjulang Piala Thomas pada 2026, meraih pingat emas pertama di Sukan Olimpik Los Angeles 2028, serta menempatkan pemain negara di ranking nombor satu dunia sekurang-kurangnya dalam tiga daripada lima kategori.

Sebagai langkah awal, BAM turut melancarkan semula program Road to Thomas Cup yang pernah menjadi pemangkin kejayaan skuad negara ketika menjuarai Piala Thomas pada 1992.

1608 SKN ZAFRUL LANTIKAN2Datuk Seri Tengku Zafrul bercakap pada sidang media di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE