fb fb fb fb fb

Lebih 4,000 penyokong JDT ke Stadium Nasional Bukit Jalil

Piala Malaysia 2023, TFC menentang JDT FC

JOHOR BAHRU, 8 Disember- Lebih 4,000 penyokong pasukan Johor Darul Takzim (JDT) mengikuti konvoi ke Stadium Nasional Bukit Jalil dengan menaiki 109 buah bas bagi menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia 2023, JDT menentang Terengganu FC (TFC) malam ini.

Timbalan Presiden Kelab Penyokong Bola Sepak JDT Mohd Fadzli Sapie berkata, semua bas dari seluruh negeri memulakan perjalanan masing-masing sekitar pukul 8.30 pagi tadi.

"Kami yakin pasukan JDT akan memberikan skor 3-0. Insya-Allah JDT akan menang," katanya.

Sementara itu, tinjauan RTM di Stadium Tan Sri Datuk Haji Hassan Yunos Larkin pula menyaksikan kira-kira 600 penyokong berkumpul sebelum bergerak ke Bukit Jalil.

Bagi Kamariah A. Kadir, dia sudah tiba di stadium tersebut seawal pukul 5.45 pagi setelah menempuh perjalanan satu jam dari Pontian.

"Semangat kesukanan ini kita beri untuk menyokong pasukan JDT. Kita pun sudah beri sokongan sejak awal permainan, jadi untuk aksi akhir ini saya pergi juga," katanya ketika ditemui pemberita sebelum bertolak ke Stadium Bukit Jalil.

"Malam ini kemenangan akan menjadi milik JDT dengan skor 3-1. Saya sangat teruja untuk menyaksikan perlawanan malam ini," jelas Nur Amirah Zulaikha Khairul Faizi.

JDT merupakan juara bertahan Piala Malaysia, dalam misi merangkul kejuaraan keempat musim ini, seterusnya mengulangi pencapaian empat piala pada musim 2022.

Tahun lepas, skuad Harimau Selatan menjulang piala berprestij itu selepas merekodkan kemenangan 2-1 ke atas Selangor FC pada perlawanan akhir yang berlangsung di lokasi sama.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI