fb fb fb fb fb

EPL: Tottenham longlai di laman sendiri

FOTO AFP

LONDON, 8 Disember - Tottenham Hotspur gagal memanfaatkan kesempatan bermain di laman sendiri selepas tewas 2-1 kepada West Ham pada perlawanan yang dilangsungkan di White Heart Lane pada Khamis.

Pada perlawanan berkenaan, 'Spurs' berjaya membuka tirai jaringan menerusi tandukan Christian Romero pada minit ke-11.

West Ham yang dilihat gagal mengimbangi corak permainan Tottenham pada separuh masa pertama tampil dengan permainan menarik pada babak kedua dan menyamakan kedudukan menerusi Jarrod Bowen pada minit ke-52.

Jaringan penyamaan itu menyebabkan Tottenham tenggelam punca selepas itu.

Kesempatan tersebut dipergunakan oleh West Ham bagi menekan barisan pertahanan Tottenham yang semakin rapuh.

Hasilnya, pada minit ke-74, West Ham menjaringkan gol kedua menerusi James Ward-Prowse hasil kesilapan dan kelam-kabut di benteng pertahanan Tottenham.

Kekalahan berkenaan menyebabkan Tottenham kekal di tangga kelima liga dengan 27 mata sekali gus melebarkan rekod tanpa kemenangan kepada lima perlawanan berturut-turut.

West Ham pula naik di tangga kesembilan liga dengan memungut 24 mata, dua mata di hadapan musuh setempat, Chelsea-REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD