UNITED KINGDOM, 4 November – Jaringan Granit Xhaka memastikan Sunderland kekal dalam kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris selepas seri 1-1 menentang Everton di Stadium of Light pada Isnin.
The Black Cats hampir naik ke tangga kedua jika meraih kemenangan, namun mereka ketinggalan lebih awal hasil jaringan individu menakjubkan Iliman Ndiaye pada babak pertama.
Everton, yang mendominasi permainan pada separuh masa awal, gagal memanfaatkan peluang terbaik apabila Thierno Barry mensia-siakan peluang terbuka dan Jack Grealish hanya mampu menggegar tiang.
Sunderland bagaimanapun menyamakan kedudukan kurang seminit selepas rehat apabila rembatan Xhaka terkena James Tarkowski, menewaskan penjaga gol England, Jordan Pickford yang kembali beraksi di bekas gelanggangnya.
Pasukan tuan rumah kemudian hampir meraih tiga mata penuh tetapi Wilson Isidor mensia-siakan peluang terbaik mereka untuk menjaringkan gol kemenangan.
“25 minit pertama kami tidak cukup bagus,” kata Xhaka kepada Sky Sports. “Pada tahap ini, anda akan dihukum. Namun babak kedua kami menunjukkan reaksi yang sangat baik.”
Keputusan seri itu mengekalkan rekod tanpa kalah di laman sendiri Sunderland serta prestasi mengagumkan mereka dalam musim pertama kembali ke saingan utama selepas lapan tahun.
Everton pula berada lima mata di atas zon penyingkiran di tangga ke-14, tetapi sekali lagi kegagalan mencari penyerang prolifik menafikan mereka kemenangan.
“Selama 20 hingga 30 minit pertama, saya fikir kami akan kecewa jika hanya dapat satu mata. Namun menjelang akhir permainan, saya berpuas hati dengan keputusan seri ini,” kata pengurus Everton, David Moyes.
Gol pembukaan Everton hadir pada minit ke-15 menerusi aksi solo cemerlang Ndiaye yang menewaskan empat pertahanan sebelum melepaskan rembatan ke penjuru atas gol dan merupakan jaringan keempatnya musim ini.
Grealish hampir menambah jaringan menerusi sepakan jarak jauh, manakala Barry terus menghampakan penyokong pelawat apabila tersasar jauh di depan pintu gol terbuka daripada hantaran lintang Grealish yang masih belum membuka akaun jaringan sejak perpindahannya bernilai £27 juta dari Villarreal pada Julai.
Gol penyamaan Xhaka pada awal babak kedua merupakan yang pertama sejak menyertai Sunderland dari Bayer Leverkusen, sekaligus membantu kelab itu mengatasi Tottenham dan Chelsea, serta menyamai jumlah mata dengan Liverpool.
Namun Sunderland perlu mempertingkatkan prestasi apabila pendahulu liga, Arsenal bakal bertandang ke Stadium of Light pada Sabtu ini bagi mempertahankan rekod tanpa kalah mereka di laman sendiri. -AFP