fb fb fb fb fb

Bayern perlu aksi ‘sempurna’ menentang PSG – Kompany

Ketua jurulatih Bayern Munich, Vincent Kompany bercakap pada sidang media menjelang perlawanan menentang Paris Saint-Germain (PSG) pada saingan Liga Juara-Juara/ REUTERS

PARIS, 4 November – Bayern Munich perlu beraksi dengan 'sempurna' menentang juara bertahan Paris Saint-Germain (PSG) dalam saingan Liga Juara-Juara pada Selasa sekiranya mahu mengekalkan rekod kemenangan cemerlang mereka musim ini, kata ketua jurulatih Vincent Kompany.

Juara Jerman itu melanjutkan rekod kemenangan terbaik dalam lima liga utama Eropah kepada 15 kemenangan berturut-turut selepas menewaskan Bayer Leverkusen 3-0 pada Sabtu.

Rekod terdahulu, iaitu 13 kemenangan, dipegang oleh AC Milan pada musim 1992/93.

“Saya fikir perkara pertama ialah anda perlu mempercayai bahawa anda boleh melakukannya, dan kemudian sudah tentu anda memerlukan permainan yang sempurna,” kata Kompany pada sidang media menjelang pertembungan di ibu negara Perancis itu.

Bayern dan PSG memenangi tiga perlawanan pertama Liga Juara-Juara musim ini dan kini terikat dari segi perbezaan jaringan.

PSG juga tidak tewas dalam lapan perlawanan kompetitif terakhir mereka.

Pemenang Ballon d’Or, Ousmane Dembele, yang menjaringkan gol ketika PSG menewaskan Bayern dalam suku akhir Piala Dunia Kelab, disahkan cergas untuk diturunkan dalam perlawanan kali ini.

Namun Kompany menegaskan bahawa kejayaan tidak bergantung pada pemain individu semata-mata.

“Kedua-dua pasukan mempunyai kekuatan kolektif yang luar biasa,” katanya.

“Siapa yang menang esok akan mengambil langkah besar untuk mara ke kelompok lapan terbaik (peringkat kalah mati),” tambah beliau. -REUTERS

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN