KUALA LUMPUR, 30 NOVEMBER – Lebih 2,000 peserta mengambil bahagian dalam acara larian Railway to See Malaysia Fun Run 2024, di Ibu Pejabat KTMB,
Jalan Sultan Hishamudin Kuala Lumpur pagi tadi..
Ini merupakan rekod capaian tertinggi acara larian yang pernah dianjurkan oleh KTMB.
Penganjuran ini adalah bagi memeriahkan agenda pelancongan berkonsepkan “Rail Tourism” di bawah program "Railway to See Malaysia Fiesta" disamping menjayakan
Agenda Nasional Malaysia Sihat.
Selain rakyat tempatan, acara juga mendapat penyertaan menggalakkan dari peserta luar negara antaranya Afrika Selatan, Amerika Syarikat, Australia, China, Filipina, Indonesia dan Singapura.
“KTMB berbangga dapat menganjurkan larian ini bagi memeriahkan lagi industri pelancongan dan merancakkan Tahun Melawat Malaysia 2026, serta
menyokong agenda Agenda Nasional Malaysia Sihat.
Kami berharap program ini menjadi platform untuk menyatukan masyarakat sambil memperkenalkan keunikan sistem kereta api negara, " kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB, Datuk Mohd Rani Hisham Samsudin.
Pelepasan larian disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh pada kira-kira pukul 7.30 pagi.
Acara yang terbahagi kepada dua kategori iaitu kategori 4 kilometer (km) dan 7km ini menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM10,000 kepada para peserta.
Hadiah termasuk nombor penyertaan bertuah, cabutan bertuah, serta pertandingan Best Outfit of the Day (OOTD) yang mengetengahkan tiga kategori menarik iaitu City
Vacationer, Beach Traveller dan Backpackers.
Ia turut dimeriahkan dengan penampilan istimewa Aizat Amdan, selaku penyanyi rasmi lagu tema "Railway to See Malaysia".
KTMB turut mengadakan pelbagai aktiviti sampingan, antaranya, Program Celebrate Lokal by Tempatan Fest yang menghimpunkan lebih 50 peniaga tempatan
seperti jualan makanan dan minuman, pakaian, dan hasil seni kreatif.
Inisiatif ini bukan sahaja bertujuan menyokong perkembangan usahawan tempatan, tetapi juga memberikan pengalaman yang lebih bermakna dan menyeronokkan kepada para
pengunjung.
Acara larian KTMB hari ini mendapat sokongan dari rakan strategik seperti CRRC Kuala Lumpur Maintenance Sdn Bhd, MyCar (Platform Apps Sdn. Bhd), Santan Restaurant Sdn. Bhd, dan Check Hup Sdn. Bhd.