fb fb fb fb fb

Larangan berlatih di SNBJ atas faktor cuaca - Hannah

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh / Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 26 Mac - Keputusan tidak membenarkan pasukan Malaysia dan Oman menjalani latihan rasmi di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) menjelang aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 merupakan keputusan Komisioner Perlawanan (MC) Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menjelaskan keputusan itu dibuat dengan mengambil kira keadaan cuaca yang sering hujan di waktu petang dan malam sejak kebelakangan ini.

"Namun padang SNBJ telah mendapat kelulusan MC untuk perlawanan," katanya menerusi laman X.

Hannah turut memuat naik gambar terkini SBNJ dan menyeru penyokong Harimau Malaya turun beramai-ramai untuk memberikan sokongan kepada skuad negara.

Terdahulu, ketua jurulatih Oman, Jaroslav Silhavy dalam sidang media praperlawanan semalam mengatakan pihaknya dimaklumkan tidak boleh berlatih di SNBJ kerana padang tidak dalam keadaan baik.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN