fb fb fb fb fb

Langkah Harimau Malaya 'terhenti' di Piala Asia bukan penamat segalanya - Adam Adli

Adam Adli

AYER KEROH, 26 Januari- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menzahirkan ucapan penghargaan dan tahniah kepada pasukan Harimau Malaysia atas usaha membanggakan pada kejohanan Piala Asia yang berlangsung di Doha, Qatar.

Timbalan Menterinya, Adam Adli Abd Halim berkata, kejayaan mara ke saingan berprestij dan terbesar Asia itu diharap menjadi pemangkin semangat untuk terus menambah mutu permainan terutama menjelang aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.

Beliau menyifatkan langkah Harimau Malaya yang terhenti di peringkat Kumpulan E saingan Piala Asia 2023 bukan penamat segala-galanya buat skuad bola sepak negara.

"Di peringkat KBS sendiri, kita cuba untuk adakan kerjasama dengan semua persatuan dan pemegang taruh dalam bola sepak ini untuk kita tingkatkan dari sudut contohnya infrastruktur dan sebagainya.

"Dengan adanya kerjasama yang lebih baik, (juga) tumpuan terhadap kualiti permainan dan strategi serta transformasi pengetahuan antara semua pihak terlibat dalam sukan bolasepak, saya yakin kita (akan) dapat lihat dari masa ke semasa (adanya) penambahbaikan yang besar dalam bola sepak negara kita," katanya.

Skuad Harimau Malaya mencipta sejarah apabila layak ke pentas kelayakan terakhir Piala Dunia Zon Asia buat pertama kali.

Pada aksi kelayakan terakhir nanti, 18 pasukan terbaik kelayakan kedua bakal bersaing merebut lapan slot untuk layak ke peringkat Piala Dunia 2026 yang akan berlangsung di Amerika Syarikat (AS), Mexico dan Kanada.

Adam ditemui pemberita selepas menyaksikan tayangan skrin besar aksi Harimau Malaya menentang Korea di Dataran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di sini, malam tadi.

Jelas beliau, inisiatif KBS menyediakan tayangan skrin besar di semua lokasi tumpuan di setiap negeri berjaya memupuk semangat kesukanan dan menyemarakkan sokongan buat Harimau Malaya.

2501 MLK TAYANGAN SKRIN
Tayangan skrin besar aksi Harimau Malaya menentang Korea di Dataran MBMB, Melaka, malam tadi.

Sehubungan itu, inisiatif berkenaan akan diteruskan dengan penambahbaikan untuk setiap lokasi serta kerjasama dengan pelbagai pihak.

Setakat ini, lebih 62,000 penyokong hadir memberi sokongan pada dua perlawanan Piala Asia sebelum ini melibatkan pasukan negara menentang Qatar dan Bahrain.

"Skrin besar ni kita dah adakan sejak tahun lepas lagi, kita dah adakan berulang kali dan kita perluaskan.

"Macam tahun ini kita adakan dengan lebih sistematik di mana kita dah pun ada kawasan yang kita kenal pasti sebagai kawasan tumpuan dan paling sesuai untuk adakan.

"Kita juga adakan kerjasama dengan beberapa pihak yang sedia untuk anjurkan, maksudnya daripada segi kos logistik dan sebagainya kita boleh bincang," tambahnya.

ARTIKEL BERKAITAN
'Tahniah Harimau Malaya. Terima kasih daripada seluruh rakyat Malaysia' - PM
Piala Asia: Harimau Malaya ikat Korea Selatan 3-3

SITI AISHAH BINTI MD ISA