fb fb fb fb fb

Piala Asia: Harimau Malaya ikat Korea Selatan 3-3

FOTO FB Football Association of Malaysia

QATAR, 25 Januari- Penyerang Harimau Malaya, Romel Morales muncul wira selepas jaringan penyamaan pada masa kecederaan babak kedua memastikan Malaysia mengikat Korea Selatan dengan jaringan tiga sama dalam saingan Piala Asia di sini, sebentar tadi.

Pertembungan berlangsung di Stadium AL Janoub menyaksikan gawang Malaysia terlebih dahulu bocor pada minit ke-21 menerusi gol tandukan Jeong Woo-Yeong.

Kecemerlangan penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi menafikan beberapa percubaan berbahaya lawan selepas itu memastikan gawang Malaysia tidak terus dibolosi hingga tamat babak pertama.

Memasuki babak kedua, Malaysia mempamerkan kebangkitan meledak dua gol dalam tempoh 11 minit masing-masing menerusi gerakan lincah pemain sayap, Faisal Halim dan jaringan penalti Arif Aiman Hanapi.

Bagaimanapun, Korea Selatan kembali memperkemas permainan dan berjaya memperoleh dua gol, hasil jaringan sendiri Syihan serta tendangan penalti Kapten Pasukan, Son Heung-Min pada minit ke-83 dan masa tambahan babak kedua.

Ketika kemenangan dilihat seakan berpihak kepada skuad kendalian Jurgen Klinsmann, bekas penyerang KL City, Romel Morales memastikan Malaysia tidak pulang hampa dengan jaringan penyamaan pada minit-minit akhir tambahan.

Jaringan tiga sama itu disifatkan satu keputusan positif selepas Malaysia tewas dan gagal mencipta sebarang jaringan dalam dua perlawanan terdahulu Kumpulan E. 



SITI AISHAH BINTI MD ISA