MADRID, 28 November- Jaringan pada babak kedua oleh penyerang Atletico Bilbao, Inaki Williams membantutkan hajat Girona bagi melebarkan jurang di persada liga dalam pertembungan kedua-dua pasukan yang berakhir seri 1-1.
Bermain di laman sendiri, Girona bermula garang, apabila hampir-hampir menjaringkan gol pendahuluan pada minit ke-28 menerusi tandukan Yangel Herrera, namun gol berkenaan dibatalkan oleh pengadil selepas Herrera didapati berada dalam kedudukan 'Offside'.
Sebaliknya, insiden tersebut menyebabkan pasukan pelawat, Bilbao melancarkan serangan dan percubaan dan menyebabkan penjaga gol Girona, Paulo Gazzaniga terpaksa bekerja keras menafikan percubaan demi percubaan.
Bersambung babak kedua, Girona berhasil mendapatkan jaringan pertama menerusi Viktor Tsyhankov pada minit ke-55 sebelum Bilbao menyamakan kedudukan pada minit ke-59 menjadikan kedudukan 1-1 sehingga tamat permainan.
Keputusan seri itu meletakkan Girona di tangga kedua dan berkongsi 35 mata bersama pendahulu, Real Madrid dan hanya dibezakan dengan jumlah jaringan. Manakala Atletico Bilbao berada di kedudukan kelima dengan 25 mata.-REUTERS