fb fb fb fb fb

Kuartet 4x400m negara kejutkan lawan, layak ke final Deaflympics Tokyo 2025

Foto RTM

TOKYO, 22 November -Kuartet 400 meter (m) negara menghadirkan kejutan apabila berjaya melayakkan diri ke final acara 4x400m lelaki pada Sukan Deaflympics Tokyo 2025 yang berlangsung di Stadium Metropolitan Komazawa.

Skuad yang dibarisi Muhammad Zamir Azman, Muhammad Zumar Azman, Azlan Kuste dan Muhammad Shahrul Azmer Azman itu pada awalnya menyangka peluang mereka sudah tertutup selepas menamatkan pusingan pertama saringan kedua di kedudukan kelima dengan catatan 3 minit 33.94 saat.

Namun, keputusan itu berubah apabila Amerika Syarikat didapati memulakan larian di luar zon pengambilalihan, manakala Venezuela gagal melengkapkan pertukaran baton dalam zon sah, sekali gus menyaksikan kedua-dua pasukan disingkirkan daripada saingan.

Situasi tersebut secara tidak langsung membuka ruang kelayakan automatik buat skuad negara ke pentas final selaku tiga terbaik saringan.

Muhammad Shahrul nyata terharu dengan kesempatan kedua itu dan tekad mahu mengubah peluang menjadi kejayaan.

"Pertama sekali saya rasa sangat tidak percaya. Rasa macam tiba-tiba sahaja boleh layak masuk ke final disebabkan ada dua negara yang disqualified. Jadi memang kami rasa sangat bersyukur dan ini rezeki Tuhan beri kepada kami untuk beraksi di final," katanya.

Azlan pula berkata final itu bukan sekadar perhitungan pingat, tetapi juga motivasi untuk memperbaiki prestasi peribadi.

"Untuk Isnin nanti, kami harap dapat membuat catatan masa terbaik. Kami akan fokus sepenuhnya dan dengan izin Tuhan serta kesihatan yang baik, saya menganggarkan catatan masa sekitar 33:62s atau lebih baik. Kami akan buat yang terbaik kerana final memerlukan fokus penuh," katanya

Untuk rekod, kali terakhir kontinjen Malaysia meraih pingat dalam olahraga Deaflympics adalah pada edisi 2005 di Melbourne, menerusi Zana Azizul Ujang yang membawa pulang gangsa dalam acara 110m lari berpagar.

Zana juga merupakan pemenang pingat emas pertama negara pada Deaflympics 2001 di Rom.

TETITIA YUSOFF