fb fb fb fb fb

Beregu wanita boling pekak negara sumbang perak di Deaflympics 2025

Foto RTM

TOKYO, 22 November -Skuad boling pekak negara terus mengekalkan momentum membanggakan apabila menambah satu lagi pingat menerusi acara beregu wanita pada Sukan Deaflympics 2025 di Higashiyamato Grand Bowl, hari ini.

Gandingan Nor Misha Nathera Mackery dan Huwainaa Danduan Abdullah meraih pingat perak selepas tewas kepada pasangan Korea Selatan, Lee Chanmi dan Heo Seonsil dalam aksi final. Pasangan negara terpaksa akur selepas tewas straight frames 175-203 dan 180-208.

Walaupun gagal menghadiahkan emas, kedua-dua mereka tetap menunjukkan semangat juang tinggi sepanjang aksi kempen kali ini bagi memastikan Malaysia terus cemerlang di podium.

Jelas Misha, mereka akui bahawa pasukan Korea Selatan mempunyai kekuatan yang sukar digugat namun tetap memberikan aksi terbaik

"Tapi nak dijadikan cerita, pihak Korea Selatan memang kita akui sangat kuat. Walau apa pun cabarannya, kami sudah melakukan yang terbaik. Jadi sekarang ini, syukurlah, alhamdulillah, kami berjaya membawa pulang pingat perak untuk Malaysia," katanya, di sini.

Pencapaian itu melengkapkan kejayaan berganda skuad boling apabila semalam, pasangan lelaki negara, Syabil Azam Syamsul Azam dan Ho Choon Seong menghadiahkan pingat emas pertama Malaysia dalam acara beregu lelaki selepas menewaskan wakil Ukraine, Danyliuk Vadym dan Ialovega Vladyslav 2-1.

Kejayaan tersebut turut menyaksikan detik bersejarah buat kontinjen boling negara dalam temasya berprestij itu.

Persatuan Sukan Pekak Malaysia (MSDeaf) sebelum ini menetapkan sasaran tiga pingat emas pada edisi kali ini dengan memberi tumpuan kepada acara beregu wanita badminton, beregu campuran badminton dan boling berpasukan lelaki.

Dengan kutipan pingat perak terbaharu itu, Malaysia kini mengumpul satu emas, satu perak dan satu gangsa daripada acara beregu campuran badminton.

TETITIA YUSOFF