fb fb fb fb fb

Lebih 500 pelumba sertai PJ International Criterium Race 2025

Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohamad Zahri Samingon ditemui pemberita pada PJ International Criterium Race 2025, di sini/RTM

PETALING JAYA ,22 November -PJ International Criterium Race 2025 sekali lagi menjadi tumpuan apabila berjaya menarik penyertaan lebih 500 pelumba dalam dan luar negara, termasuk dari Singapura dan Korea Selatan.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohamad Zahri Samingon berkata, perlumbaan yang memasuki edisi keempat itu, terus menunjukkan perkembangan positif daripada segi penyertaan, khususnya dalam kategori antarabangsa.

Beliau berkata, penganjuran tahun ini menampilkan tujuh kategori iaitu Men Junior, Men Elite, Men Open, Men Master, Men MTB Open, Women Junior dan Women Open dengan tawaran hadiah keseluruhan sebanyak RM35,000.

Peningkatan penyertaan itu katanya, selari dengan trend sejak 2022 yang menyaksikan perlumbaan berprestij itu semakin mendapat tempat dalam kalangan pelumba tempatan dan luar negara.

"Apabila semakin popular, ia akan mengundang lebih ramai pelumba-pelumba dari luar negara dan tempatan. Sebenarnya, kita mengharapkan lebih ramai pelumba akan sertai perlumbaan ini kerana hanya di PJ sahaja perlumbaan ini berlangsung.

"Ia akan mengangkat PJ sebagai tempat untuk mengeluarkan bakat-bakat baharu dan pada masa sama juga ia memberi peluang kepada pelumba untuk diserapkan ke peringkat kebangsaan," katanya ketika ditemui media pada perlumbaan tersebut, di sini.

Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) selaku penganjur bekerjasama dengan Persatuan Berbasikal Negeri Selangor (PBNS) dan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).

PBNS turut menugaskan pasukan teknikal profesional bagi memastikan aspek keselamatan, kepatuhan dan operasi perlumbaan memenuhi piawaian yang ditetapkan.

PKBM pula menyokong penganjuran itu sebagai platform memperkasa belia melalui sukan dan komuniti.

Mengenai sasaran penganjuran tahun hadapan, Mohamad Zahri berkata, pihaknya mahu meningkatkan lagi jumlah penyertaan, khususnya dari luar negara.

Beliau juga berkata, program itu penting untuk mengenal pasti pelumba berpotensi yang kemudiannya boleh diserap ke peringkat negeri dan kebangsaan.

Katanya, MBPJ juga menghantar pasukan sendiri dalam perlumbaan tersebut dan mereka sememangnya aktif dalam pelbagai pertandingan.

TETITIA YUSOFF