KUALA LUMPUR, 19 Ogos – Beregu lelaki negara, Man Wei Chong - Tee Kai Wun dijangka berdepan cabaran getir di suku akhir Kejohanan Badminton Dunia di Paris apabila bakal menentang pilihan utama dari Korea Selatan, Kim Won Ho - Seo Seung Jae.
Ketua jurulatih beregu lelaki, Herry Iman Pierngadi, berkata pasangan nombor satu dunia itu bukan sahaja berada di prestasi terbaik, malah memiliki pengalaman luas yang memberi kelebihan besar buat mereka.
Bagaimanapun, beliau tetap optimis dengan kemampuan beregu ranking ketujuh dunia itu selepas melakukan analisis perlawanan terdahulu menentang lawan sama di Jepun.
“Kami perhatikan bagaimana mereka tewas pada set pertama dan bangkit menang pada set kedua. Jadi, strategi dan perancangan permainan perlu dirujuk semula melalui video tersebut.
“Pemain Korea ini antara yang paling berpengalaman dalam beregu lelaki dunia ketika ini. Perbezaan utama adalah pengalaman, tetapi jika dibandingkan dengan Aaron Chia - Soh Wooi Yik, tahap mereka hampir setara,” katanya selepas sesi latihan, hari ini.
Selain Korea, Herry turut mengingatkan ancaman dari Indonesia yang menurunkan tiga beregu kuat.
Kejohanan Dunia yang bermula minggu depan menyaksikan empat wakil negara dalam beregu lelaki iaitu Aaron Chia - Soh Wooi Yik, Man Wei Chong - Tee Kai Wun, Wan Arif Wan Junaidi - Yap Roy King serta gandingan profesional Goh Sze Fei - Nur Izzuddin Rumsani.
Untuk rekod, Aaron Chia - Soh Wooi Yik pernah menjulang gelaran dunia pada edisi 2022 di Jepun.
Ketua jurulatih beregu lelaki, Herry Iman Pierngadi