SHAH ALAM, 29 November- Satu perjumpaan antara Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Sukan Negara (MSN) bersama Majlis Olimpik Malaysia (MOM) baru-baru ini, diharap dapat menoktahkan konflik antara MOM dan Pesuruhjaya Sukan (PJS).
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata menerusi perjumpaan itu beliau percaya konflik tersebut mampu diselesaikan secara profesional.
“PJS adalah jawatan yang cukup penting untuk menguatkuasakan akta pembangunan sukan, seperti saya telah nyatakan dalam Parlimen ekosistem sukan yang harmoni sangat penting.
“Jadi saya percaya dengan courtesy call antara KSU (Dr Nagulendran Kangayatkarasu), Ketua Pengarah MSN (Abdul Rashid Yaakub) bersama Presiden MOM (Tan Sri Mohamad Norza Zakaria), saya percaya perkara itu kita boleh selesaikan dengan cukup profesional dan tenang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai perkembangan konflik PJS dan MOM pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan MSN di Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin di sini hari ini.
Pada masa sama, beliau berkata keutamaannya adalah untuk menyelesaikan isu e-sukan yang menjadi masalah pokok dalam konflik antara PJS dan MOM itu.
Konflik antara PJS dan MOM tercetus apabila satu audio tersebar mengenai kata-kata ugutan yang didakwa dikeluarkan PJS sehingga ingin membatalkan pendaftaran MOM.
Terdahulu, UiTM dan MSN menyambung MoU yang berakhir Januari lepas untuk tempoh tiga tahun selepas kolaborasi mereka yang menawarkan peluang kepada atlet mahupun kakitangan MSN mendapatkan pendidikan tinggi menampakkan hasil positif.
"UiTM menawarkan 13 kampus kepada MSN untuk menyerap masuk atlet-atlet di bawah naungan MSN. Itu adalah satu peluang dan kerjasama yang sangat bagus dan strategik. Saya percaya menandatangani MoU ini semula dapat memberi impak lebih baik lagi antara UiTM dan MSN,” kata Hannah.