fb fb fb fb fb

Barcelona tempah slot 16 terbaik Liga Juara

Pemain-pemain Barcelona meraikan jaringan kedua Joao Felix pada perlawanan Liga Juara menentang FC Porto/FOTO AFP

BARCELONA, 29 November- Jaringan Joao Cancelo dan Joao Felix sudah cukup untuk Barcelona menewaskan wakil Portugal, FC Porto 2-1 pada saingan peringkat kumpulan Liga Juara pada Selasa.

Kemenangan itu sekali gus berjaya membawa kelab Catalan itu mara ke pusingan 16 kalah mati buat kali pertama dalam tempoh tiga musim.

Barcelona kembali ke pusingan 16 kalah mati selepas tersingkir pada peringkat kumpulan dua tahun lalu.

Pada perlawanan yang berlangsung di Nou Camp itu, Barcelona diberi tentangan hebat oleh Porto yang menampilkan aksi yang bertenaga pada aksi separuh masa pertama namun dihampakan oleh kecemerlangan penjaga gol kedua, tuan rumah, Inaki Pena yang menafikan beberapa percubaan berbahaya penyerang Porto.

Porto terlebih dahulu berada di depan apabila pemain veteran, Pepe berjaya menyempurnakan jaringan buat pasukan berkenaan bagi mendahului Barcelona 1-0.

Barcelona yang tersentak dengan jaringan berkenaan, menyamakan kedudukan dua minit kemudian menerusi Jaringan 'Curling Shot' oleh Jao Cancelo bagi menjadikan kedudukan 1-1 sehingga tamat permainan separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, Barcelona mengubah corak permainan dengan dua pemainnya Jao Cancelo dan Joao Felix menjadi ancaman buat pertahanan Porto.

Percaturan yang direncanakan oleh Xavi Hernandez berjaya membuahkan hasil apabila trio tersebut berjaya mengucar-kacirkan pertahanan Porto dan menjaringkan gol menerusi Joao Felix pada minit ke-57.

Kemenangan tersebut meletakkan Barcelona sebagai pendahulu kumpulan H dengan 12 mata dan hanya memerlukan keputusan seri bagi menjuarai kumpulan berkenaan.-REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD