KUALA LUMPUR, 27 Jun- Ketua jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto menyuarakan keyakinan terhadap perkembangan positif ditampilkan gandingan utama negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei selepas kembali digandingkan sejak April lalu.
Menurut Nova, aspek komunikasi yang sebelum ini menjadi isu utama dalam prestasi pasangan itu kini semakin baik, sekali gus meningkatkan persefahaman di gelanggang.
“Mereka sudah tiada masalah dan nampak semakin baik. Komunikasi sudah okey, namun corak permainan masih belum capai tahap maksimum. Diharapkan kita dapat manfaatkan waktu yang ada sebelum Terbuka Jepun,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan skuad kebangsaan.
Pasangan ranking keempat dunia itu sebelum ini dipisahkan susulan ketegangan hubungan profesional, sebelum masing-masing digandingkan dengan rakan baharu di Terbuka Taiwan 2025.
Bagaimanapun, hasil perbincangan bersama pasukan kejurulatihan dan atas permintaan kedua-dua pemain, mereka kembali disatukan pada April lalu dan terus diberi kepercayaan mewakili negara di Piala Sudirman 2025 di Xiamen, China.
Gandingan semula itu nyata berhasil apabila Tang Jie-Ee Wei berjaya menyumbang mata penting dalam membantu Malaysia mara ke suku akhir kejohanan berpasukan campuran tersebut.