fb fb fb fb fb

Al-Hilal mara ke pusingan kalah mati, tewaskan Pachuca 2-0

FOTO REUTERS

PENNSYLVANIA, 27 Jun- Al-Hilal memastikan kemaraan ke pusingan kalah mati Piala Dunia Kelab selepas mencatat kemenangan 2-0 ke atas kelab Mexico, Pachuca dalam aksi Kumpulan H.

Kemenangan pertama kelab berbelanja besar dari Arab Saudi itu dalam kejohanan edisi kali ini sudah memadai untuk mereka menamatkan saingan peringkat kumpulan di tangga kedua di belakang juara Eropah, Real Madrid.

Kapten pasukan, Salem Al-Dawsari membuka tirai jaringan pada minit ke-22, sebelum Marcos Leonardo menggandakan kedudukan menerusi jaringan pada masa kecederaan, sekaligus mengesahkan pertemuan menentang Manchester City di Orlando, Isnin ini dalam aksi pusingan 16 terbaik.

Pachuca yang sudah tersingkir lebih awal selepas tewas dalam dua perlawanan pertama, tetap tampil bertenaga, namun barisan pertahanan Al-Hilal yang diketuai Kalidou Koulibaly cemerlang merantai ancaman penyerang utama, Salomon Rondon dan hanya membenarkan wakil Mexico itu melakukan percubaan dari jarak jauh.

Al-Hilal bagaimanapun dilihat terlalu selesa dengan kelebihan yang dimiliki dan hampir dihukum beberapa kali apabila memilih untuk bertahan di suku akhir permainan, namun tetap berjaya mempertahankan kelebihan untuk menamatkan saingan kumpulan dengan lima mata, satu mata mengatasi Red Bull Salzburg di tangga ketiga.

Menariknya, jaringan pertama hadir hasil gandingan dua pemain utama Arab Saudi, Nasser dan Salem Al-Dawsari, yang bergandingan cemerlang untuk membuka tirai jaringan.

Leonardo hampir menambah jaringan di penghujung babak pertama, malah berpeluang cerah untuk meledak gol kedua pada minit ke-83 selepas menerima umpanan cantik hasil gerakan berpasukan. Namun cubaan chip-nya terlalu lemah, membolehkan Sebastian Jurado menepis bola yang kemudiannya dikeluarkan dari garisan oleh Eduardo Bauermann.

Pachuca hampir menyamakan kedudukan seminit kemudian menerusi tandukan padu pemain gantian, Illian Hernandez yang hanya sedikit tersasar.

Namun, Leonardo akhirnya menebus kesilapannya dengan jaringan kedua Al-Hilal lima minit selepas masa tambahan bermula, hasil lorongan Ruben Neves yang membolehkannya memperdaya penjaga gol dan menyudahkan peluang ke gawang terbuka.

Al-Hilal bakal berdepan cabaran lebih getir apabila bertemu Manchester City dan Neves menegaskan pasukannya perlu mengekalkan corak permainan seperti ketika mengikat Real Madrid 1-1 dalam aksi terdahulu.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE