KUALA LUMPUR, 1 Okt - Kempen pemain skuasy negara, Aifa Azman, dalam Kejohanan Skuasy Klasik Qatar 2025 berakhir selepas beliau terpaksa menarik diri pada set keempat aksi pusingan kedua menentang wakil Perancis Melissa Alves, di Doha, semalam.
Pemain berusia 23 tahun itu, yang ketika itu terikat 2-2 dengan Melissa, membuat keputusan menarik diri di Kompleks Tenis dan Skuasy Antarabangsa Khalifa.
Anak jati Kedah itu, yang sebelum ini tidak pernah menewaskan Melissa dalam tiga pertemuan, mempamerkan permulaan meyakinkan apabila memenangi set pertama 11-9 sebelum tewas 7-11, namun bangkit semula untuk mendahului 11-7.
Melissa seterusnya akan bertemu juara bertahan dari Mesir, Nour El Sherbini, selepas pilihan utama itu bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menyingkirkan rakan senegara, Nour Heikal, 8-11, 11-3, 11-3, 11-7.
Malaysia bagaimanapun masih mempunyai dua wakil dalam kejohanan ini iaitu S. Sivasangari dan Aira Azman yang akan beraksi pada suku akhir, malam ini.
Pemain pilihan ketujuh, Sivasangari, dijadual bertemu pilihan kedua dari Mesir, Hania El Hammamy, manakala Aira akan berdepan pilihan keempat, juga dari Mesir, Amina Orfi.
Kejohanan bertaraf platinum dalam Jelajah PSA itu menawarkan jumlah hadiah keseluruhan US$231,500 (kira-kira RM976,000) masing-masing bagi kategori lelaki dan wanita. - BERNAMA