fb fb fb fb fb

KLAS Renang, KBS seru kerjasama daripada semua kerajaan negeri

Foto BERNAMA

KOTA LAKSAMANA, 13 Julai- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyeru kerjasama semua kerajaan negeri untuk menyokong pelaksanaan Program Kemahiran Latihan Asas Sukan (KLAS) Renang.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata pihaknya juga menyasarkan lebih ramai penyertaan untuk fasa dua yang akan bermula pada 27 Julai ini di 39 lokasi di seluruh negara.

Kerajaan sebelum ini telah meluluskan RM3.6 juta dalam Belanjawan 2024 bertujuan untuk memperluaskan pelaksanaan KLAS Renang dengan fasa pertama berakhir pada bulan lalu.

"Kita mahu kerjasama daripada negeri. Kalau program ini menerima lebih banyak sokongan daripada pelbagai pihak termasuk korporat di Melaka yang mahu menaja."

"Mereka boleh menghubungi ahli Parlimen atau Jabatan Belia dan Sukan Negeri untuk membincangkan perkara ini. Ia adalah satu pelaburan yang menguntungkan untuk mereka buat khidmat sosial CSR," kata Hannah kepada pemberita pada Program Kemahiran Latihan Asas Sukan Renang (KLAS) di RNJ Swimming Academy, di sini.

Pendaftaran KLAS Renang Fasa dua kini dibuka dan program secara percuma itu meliputi tiga kategori iaitu kanak kanak keluarga B40, Orang Kurang Upaya (OKU) dan warga emas.

Dalam pada itu, Hannah berkata kementeriannya juga sedang berbincang bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan negeri yang mempunyai kolam renang untuk ditambah baik bagi kegunaan awam.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM