fb fb fb fb fb

Kim Swee hati-hati pilih pemain import baharu, mahu keharmonian dalam skuad

KELANA JAYA, 31 Disember - Ketua Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee masih mencari khidmat penyerang import terbaik bagi memperkuat skuad Sang Badak untuk menghadapi musim 2023.

Menurut Kim Swee, pemilihan perlu dibuat dengan berhati-hati kerana enggan tersilap percaturan membawa masuk pemain bersikap 'primadona' ke dalam pasukan itu.

(Datuk Ong Kim Swee)

Pengendali berusia 52 tahun itu berkata selain lincah diatas padang, beliau mahukan pemain yang mampu menjaga keharmonian dalam pasukan.

"Paling penting pemain itu bukan sahaja boleh bermain di dalam padang tetapi...di luar padang merupakan satu lagi perkara penting.

"Ini untuk kita mengharungi liga yang begitu panjang, saya tidak ingin primadona dalam pasukan saya yang mana tidak mempunyai keakraban dengan pemain lain," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri kongres tahunan Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM) bagi penggal 2018 hingga 2022, di sini.

Sabah FC tidak menyambung kontrak dua pengempur musim lepas iaitu Jose Embalo dari Portugal, dan Taiki Kagayama dari Jepun.

Dalam pada itu, Kim Swee kini memburu khidmat sekurang-kurangnya dua pemain tempatan baharu.

Mereka bakal menyertai barisan lima pemain tempatan berkualiti yang berjaya dipikat skuad Sang Badak sebelum ini.

"Saya telah menandatangani Darren Lok, Irfan Zakaria, Jeffry, Kumaaran, Daniel Hakim dan masih lagi berbincang sorang atau dua pemain tempatan selain menyambung kontrak Park Tae Su termasuk Saadil Ramdani," katanya.

Media Baharu