fb fb fb fb fb

Ketiadaan tonggak utama, Kim Pan Gon lihat daripada sudut positif

KUALA LUMPUR, 1 Disember-Ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon masih belum mengalah dalam membentuk barisan terbaik bagi menghadapi kejohanan Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 meskipun tanpa beberapa tonggak utama.

Ketiadaan pemain tersebut mungkin menambah lagi beban di bahu Pan Gon, namun pengendali kelahiran Korea Selatan itu masih positif dan enggan melayan perasaan kecewanya.

Sebelum ini, beberapa pemain utama dalam skuad Malaysia yang berjaya menamatkan penantian ke pusingan akhir Piala Asia 2023, Jun lepas, telah memutuskan untuk menarik diri daripada menyertai kempen Piala AFF 2022.

Daripada 42 pemain yang dipanggil ke kem latihan pusat, 12 orang pemain memberi pelbagai alasan termasuk hal peribadi, urusan keluarga dan kecederaan.

Pan Gon mengakui situasi itu kali pertama berlaku sepanjang kariernya sebagai jurulatih, namun beliau turut melihatnya sebagai satu peluang untuk mencuba beberapa pemain baharu.

Piala AFF juga diadakan di luar jendela antarabangsa FIFA, justeru Pan Gon berkata beliau dan barisan kejurulatihannya akan melakukan yang terbaik untuk mempersiapkan skuad Malaysia.

Dalam kempen kali ini, skuad negara diundi dalam Kumpulan B bersama-sama Myanmar, Laos, juara dua kali Vietnam dan juara empat kali Singapura.

Sementara itu, penyerang kebangsaan, Darren Lok berazam menampilkan aksi terbaik dalam kempen Piala AFF 2022 selepas dipanggil menyertai skuad Harimau Malaya buat kali kedua.


(Pemain Kebangsaan dan Petaling Jaya City, Darren Lok)

"Saya melihat panggilan kedua mewakili negara ini sesuatu yang positif. Panggilan kali pertama pada tahun 2016 tidak berjalan seperti yang diharapkan. Saya berharap mampu memperagakan aksi terbaik buat negara", katanya ketika ditemui media.

Penyerang berusia 32 tahun itu turut mengakui ketika ini dia dalam keadaan terbaik bagi menghadapi dua perlawanan persahabatan,sambil berharap prestasinya akan berterusan sehingga ke kejohanan itu kelak.

"Pasukan kali ini berbeza dengan pasukan terdahulu. Namun, kami punyai keyakinan kepada pemain-pemain baru yang dipanggil mewakili negara. Kami juga mempunyai masa yang cukup bagi berlatih dan membentuk persefahaman diantara kami", katanya mengakhiri perbualan.

Malaysia akan berdepan Kemboja dan Maldives sebagai aksi pemanas badan Harimau Malaya sebelum memulakan cabaran Piala AFF 2022 pada 20 Disember ini.




Media Baharu