fb fb fb fb fb

Ketiadaan Liga B-23 bukan alasan gagal cetus bakat muda

Pengarah Teknikal Pasukan Kebangsaan, Tan Cheng Hee (kiri) bersama Ketua Jurulatih Skuad Kebangsaan Bawah 23 Tahun, Nafuzi Zain / Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 25 Jun – Ketiadaan saingan Liga Bawah 23 Tahun (B-23) musim ini tidak seharusnya dijadikan alasan untuk pasukan kejurulatihan gagal mencungkil dan membentuk bakat-bakat muda berkualiti, tegas Pengarah Teknikal Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe.

Menurut beliau, barisan jurulatih perlu bersikap terbuka dan berdaya saing dalam menyesuaikan diri dengan situasi semasa bola sepak negara, meskipun berdepan cabaran tanpa platform liga khusus untuk pembangunan pemain muda.

“Saya tidak boleh katakan ia satu cabaran yang terlalu sukar. Ini adalah masa untuk jurulatih menyesuaikan diri, belajar perkara baharu dan mencari pendekatan terbaik dalam membentuk pasukan.

“Disiplin dan motivasi tinggi dalam kalangan jurulatih amat penting bagi memastikan proses pemilihan pemain dilakukan secara adil dan menyeluruh,” katanya pada sidang media pengumuman senarai pemain ke Kem Latihan Pusat Skuad B-23 di Wisma FAM, hari ini.

Tambah beliau, walaupun Liga MFL B-23 telah dimansuhkan, usaha pemantauan dan penilaian prestasi pemain tetap perlu diteruskan bagi memastikan bakat terbaik dapat digilap dan diketengahkan.

“Kita perlu kekalkan semangat untuk mencari pemain terbaik. Pemantauan rapi akan diteruskan menerusi komunikasi rapat dengan jurulatih kelab masing-masing bagi memastikan potensi sebenar pemain muda dikenal pasti,” ujarnya lagi.

Tan turut menekankan, pemantauan secara langsung perlu menjadi keutamaan, bukan sekadar bergantung kepada laporan teknikal semata-mata.

“Komunikasi dengan jurulatih kelab sangat penting. Kita tidak boleh hanya tunggu laporan, sebaliknya perlu turun ke padang, lihat sendiri dan nilai progres pemain,” katanya.

Ketiadaan Liga B-23 musim ini dilihat mengurangkan peluang pemain muda untuk mendapatkan minit permainan secara kompetitif.

Bagaimanapun, beberapa pihak telah mencadangkan alternatif jangka pendek seperti penganjuran liga pelapis serta perlawanan persahabatan bertaraf tinggi bagi mengekalkan momentum pembangunan pemain muda negara.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN