fb fb fb fb fb

Empat anggota Bomba wakili Malaysia di WPFG 2025 di AS

Empat anggota bomba dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bakal membawa cabaran negara ke pentas antarabangsa apabila menyertai acara bina badan dalam WPFG 2025 / Foto RTM

PUTRAJAYA, 25 Jun – Empat anggota bomba dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang pernah mencuri perhatian semasa perarakan Hari Kebangsaan sebelum ini, bakal membawa cabaran negara ke pentas antarabangsa apabila menyertai acara bina badan dalam Sukan Polis dan Bomba Dunia (World Police and Fire Games – WPFG) 2025 yang akan berlangsung di Alabama, Amerika Syarikat, hujung bulan ini.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata penyertaan sulung itu menjadi bukti komitmen jabatan dalam mempromosikan kecergasan fizikal serta semangat kesukanan dalam kalangan warganya.

“Kita ke Amerika Syarikat kali ini hasil daripada pencapaian luar biasa tahun lepas yang amat memberangsangkan.

"Saya percaya mereka akan memberikan yang terbaik. Seperti yang dinyatakan oleh KSU tadi, ini bukanlah perjuangan individu semata-mata, tetapi perjuangan untuk jabatan dan lebih penting lagi, perjuangan untuk negara,” katanya selepas Majlis Perhimpunan Bulanan JBPM, di sini hari ini.

Menurut beliau, walaupun harapan tidak diletakkan terlalu tinggi, sebarang kejayaan termasuk pingat yang diraih tetap dianggap sebagai pencapaian membanggakan memandangkan ini adalah penyertaan pertama JBPM dalam temasya tersebut.

Nor Hisham turut memaklumkan seramai 34 atlet JBPM akan mengambil bahagian dalam pelbagai acara sukan sepanjang kejohanan selama 10 hari yang bermula pada 27 Jun nanti.

Antara acara yang disertai termasuk golf, boling, badminton dan bina badan, yang disertai oleh anggota dari pelbagai peringkat perkhidmatan dalam JBPM.

Penganjuran WPFG merupakan platform bertaraf dunia bagi anggota keselamatan dari seluruh dunia menonjolkan keupayaan fizikal dan semangat kesukanan dalam suasana persaingan yang sihat dan profesional.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN