KUALA LUMPUR, 25 Jun – Ratu luncur air negara, Aaliyah Yoong Hanifah yang cemerlang meraih tiga pingat emas pada Kejohanan Universiti Dunia 2025 di New Zealand pada Mac lalu, bakal mengetuai cabaran Malaysia ke Kejohanan Ski Air & Wakeboard Asia IWWF 2025 yang akan berlangsung di Bangkok, Thailand dari 26 hingga 29 Jun ini.
Persekutuan Ski Air dan Papan Luncur Malaysia (MWWF) menerusi kenyataan memaklumkan, Aaliyah akan bersaing dalam tiga acara utama iaitu slalom, tricks dan jump, serta menjadi calon utama dalam kategori keseluruhan wanita.
“Aaliyah merupakan pilihan utama dalam ketiga-tiga acaranya iaitu slalom, tricks dan jump, serta dalam kategori keseluruhan,” menurut kenyataan MWWF.
Beliau akan disertai oleh Syahir Nasir dalam acara slalom Lelaki Terbuka, serta dua adik-beradiknya, Aiden Yoong Hanifah dan Adam Yoong Hanifah, yang masing-masing akan mengambil bahagian dalam acara slalom, tricks dan jump.
Seorang lagi wakil negara, Aydan Noah Saisi, akan bertanding dalam acara Wakeboard Bawah 14 Tahun.
Sementara itu, Emirul Shahimy Wahab dilantik sebagai pengurus pasukan, dibantu oleh Nordin Saisi selaku penolong pengurus.
Tiga pegawai MWWF turut menerima pelantikan sebagai pegawai teknikal kejohanan oleh Persekutuan Luncur Air dan Wakeboard Antarabangsa (IWWF).
Mereka ialah Presiden MWWF, Phillipa Yoong (juri), Pegawai Eksekutif Sukan MWWF, Nozie Sulaiman (scorer), dan Ahli Jawatankuasa, Danny Choo Hon Nam (ketua pemandu – chief driver).