MIRI, 25 Jun – Dua pemain remaja negara, Liew Connor Axel Kai dan Jamie Tan Huan Ying, terus menampilkan aksi cemerlang apabila kekal selaku pendahulu selepas hari kedua Sirkit Kedua Kejohanan Golf 100PLUS Srixon Jelajah Pembangunan Malaysia 2025 yang berlangsung di Kelab Golf Eastwood Valley, di sini.
Connor, yang beraksi dalam kategori Lelaki A, menutup pusingan kedua dengan catatan terkumpul 146 pukulan, dua di atas par, meskipun bermula goyah apabila mencatat lima bogey di sembilan lubang pertama.
“Saya rasa agak gementar, sebab tahun lepas saya tidak bermain dengan baik. Jadi tahun ini, saya anggap ia sebagai peluang kedua. Saya akan mulakan usaha dari sini, dan jika saya berjaya ke sana, saya pasti akan tampil lebih baik tahun ini,” kata Connor.
Ng Li Xin kini berada di tangga kedua dengan 159 pukulan (15 di atas par), manakala Brandon Wong Yi dan AK Muhd Zakwan Pg Zaki Al Hakim berkongsi kedudukan ketiga dengan 160 pukulan (16 di atas par).
Dalam kategori Perempuan A, Jamie Tan meneruskan prestasi konsisten dengan 148 pukulan (4 di atas par), tujuh pukulan di hadapan pencabar terdekat, Ngo Yi Belle, yang mencatat 155 pukulan (11 di atas par).
“Belum lagi, maksud saya, permainan masih belum tamat. Jadi saya tak boleh rasa selesa sekarang. Saya akan terus berjuang esok, dan sentiasa ingatkan diri untuk terus sabar dan berikan yang terbaik,” ujar Jamie.
Sirkit itu disertai 64 pemain remaja berusia antara 13 hingga 18 tahun dari seluruh negara.
Sepuluh pemain terbaik keseluruhan akan dipilih untuk menyertai Pusingan Akhir Utama Golf Remaja Antarabangsa yang dijadual berlangsung Oktober ini di Kelab Golf Kota Permai, Kota Damansara.