AHUS, 25 Jun - Pasukan bola sepak wanita kebangsaan Sweden menjalani sesi latihan intensif pada Rabu sebagai persiapan menghadapi perlawanan persahabatan menentang Norway, menjelang Kejohanan Bola Sepak Eropah (EURO) Wanita UEFA 2025.
Ketua jurulatih Sweden, Peter Gerhardsson menyatakan keyakinan, kejohanan edisi kali ini bakal menampilkan mutu permainan bertaraf tinggi, dan menegaskan tumpuan pasukan ketika ini adalah terhadap aksi persahabatan menentang Norway di Oslo, serta perlawanan pertama kejohanan menentang Denmark.
“Fokus kami kini adalah untuk membina momentum dan keserasian pasukan menerusi perlawanan persahabatan ini sebelum memasuki kejohanan sebenar,” katanya.
Edisi ke-14 UEFA EURO Wanita akan berlangsung di Switzerland dari 2 hingga 27 Julai 2025, menghimpunkan pasukan-pasukan terbaik Eropah dalam saingan bola sepak wanita paling berprestij di benua itu.
Sementara itu, satu laporan oleh Nielsen Sports dengan kerjasama PepsiCo meramalkan bola sepak wanita bakal menjadi antara lima sukan utama dunia menjelang tahun 2030, dengan jumlah peminat global dijangka meningkat sebanyak 38 peratus, mencecah lebih 800 juta orang.-REUTERS