PARIS, 25 Jun – Perancis bersama Liga Bola Sepak Profesional (LFP) menandatangani satu perjanjian strategik keselamatan bagi memastikan perlawanan bola sepak profesional berlangsung dalam suasana selamat dan terkawal, sekali gus menangani isu keganasan dan ketidaktenteraman di stadium.
Presiden LFP, Vincent Labrune menegaskan kerjasama erat antara pihak berkuasa dan badan sukan adalah penting dalam melindungi pengalaman penyokong.
“Kerajaan, kelab dan liga mesti bekerjasama untuk melindungi pengalaman bola sepak buat para penyokong, bermula dari saat mereka membeli tiket sehinggalah mereka pulang ke rumah,” katanya dalam satu sidang media.
Perjanjian tersebut turut merangkumi pelaksanaan langkah-langkah keselamatan yang lebih bersepadu melibatkan pihak keselamatan awam, pihak penganjur perlawanan serta kelab bola sepak profesional.
Langkah itu hadir susulan beberapa insiden keselamatan yang berlaku dalam musim-musim terdahulu yang mencetuskan kebimbangan dalam kalangan peminat, pihak berkuasa dan kelab.-AFP