KUALA LUMPUR, 25 Jun – Ketua jurulatih skuad Bawah 23 Tahun kebangsaan (B-23), Nafuzi Zain meletakkan sasaran awal yang realistik untuk membawa pasukan muda negara mara ke peringkat separuh akhir Piala ASEAN B-23 2025 yang bakal berlangsung di Indonesia dari 15 hingga 29 Julai ini.
Nafuzi menegaskan, tumpuan perlu diberikan kepada setiap perlawanan secara berperingkat, bermula dengan aksi sulung menentang Filipina dalam saingan Kumpulan A.
“Perlawanan pertama menentang Filipina sangat penting untuk mendapatkan momentum awal. Selepas itu, kita akan fokus kepada Brunei sebelum menghadapi cabaran lebih sukar apabila menentang tuan rumah, Indonesia.
“Kita memang mahu ke final, tetapi buat masa ini, matlamat utama adalah untuk layak ke separuh akhir terlebih dahulu,” katanya pada sidang media pengumuman senarai pemain ke Kem Latihan Pusat Skuad B-23 di Wisma FAM, pagi tadi.
Nafuzi, yang sebelum ini lebih dikenali sebagai jurulatih di peringkat kelab, turut mengakui ini merupakan penampilan sulungnya sebagai ketua jurulatih kebangsaan di pentas antarabangsa.
“Sudah tentu suasana dan tekanannya berbeza apabila mengendalikan skuad kebangsaan. Pendekatan di peringkat ini tidak sama seperti ketika bersama kelab,” jelas beliau.
Untuk edisi kali ini, lapan pasukan akan bersaing dalam dua kumpulan, dengan dua pasukan terbaik dari setiap kumpulan akan mara ke separuh akhir.
Malaysia dijadual membuka kempen menentang Filipina, diikuti perlawanan menentang Brunei dan akhirnya menentang tuan rumah, Indonesia.
Berdasarkan senarai awal 30 pemain yang diumumkan, skuad B-23 menyaksikan dominasi pemain dari Johor Darul Ta'zim II (JDT II) dan Selangor, masing-masing menyumbang 12 dan lapan pemain. Selebihnya terdiri daripada pemain Kuala Lumpur City, Penang, Perak, Melaka, Sabah, Negeri Sembilan dan Terengganu.
Antara pemain yang turut dipanggil termasuk beberapa nama yang pernah beraksi bersama skuad senior negara seperti Ubaidullah Syamsul Fazili, Fergus Tierney dan Haqimi Azim Rosli.